Rabu, 26 Ogos 2009

Sehingga Menciutkan

Zaman aku kecil dulu, barang-barang yang biasa di zaman ini, adalah suatu yang mewah di zaman itu. Satu barang mewah yang selalu diiklankan di tv ialah sabun pencuci pinggan. Dalam iklan di kaca tv, seorang surirumah mencuci pinggan dengan mudah sekali. Apabila selesai, pinggan bersinar dan bila disapu jari ada bunyi, ciuuut.... punyalah bersih.

Kat kampung aku, orang cuci pinggan pakai sabun pakaian dengan sabut kelapa. Span kena beli, sabut kelapa free. Kalau kenduri kendara, manalah berkesan cara membasuh begini. Mereka kena bilas dengan air yang banyak sebab sabun pakaian berbau. Kadi mereka buang minyak menggunakan abuk gergaji. Sabun pencuci pinggan adalah suatu yang mewah yang hanya dapat dilihat di kaca tv.

Oleh kerana membasuh dengan sabut bukannya suatu yang gelama, ia adalah suatu tugas yang pembantu rumah kami elakkan diri. Apa lagi keluarga kamiu besar, pasti hancur tangannya yang halus tu kena sabun. Jadi terpaksalah kami adik beradik mencangkung membasuh pinggan mangkuk sebelum mak mula memasak.

Suatu hari ayah aku ke Kuantan dan terjumpalah sabun pencuci pinggan yang menciutkan tu. Bila ayah bawa balik dan tunjukkan pada mak. Mak buka tudung pencuci tu.... wah bau limau. sedapnya, mau aku tambah gula buat air limau aja dari pencuci tu.

Masa tu, sapa-sapa yang mencuci pinggan akan merasa glamour, atau gelama, istilah keluarga kami. Lepas makan, semua orang cuci sendiri pinggan... Dan merasa nikmat minciutkan pinggan selepas mencuci. Yang aku terkejut tu, pembantu rumah aku, lepas makan cepat-cepat ke dapur nak kutip pinggan nak dicuci, sebelum ni tak pernah pun berbuat begitu.

Mak senyum melihat telatah anak-anak, pembantu rumah, dan ayah aku sekali yang tiba-tiba rajin mencuci pinggan.

Lepas makan malam, adik-adik terkam ke dapur nak cuci pinggan... Goncang botol pencuci, kosong! Dah habis!

Mak dapat tahu. Dia pun bagi ceramah tentang pembaziran kira-kira setengah jam dan memberi arahan pada ayah aku. Tak boleh lagi beli pencuci pinggan. Balik semula pada sabun pakaian dan sabut kelapa. Tak apa guna air lebih sedikit, air perigi free.

Tiada ulasan:

Pengunjung