Rabu, 1 September 2010

Gula oh Gula (Bahagian 4)

Halwa kundur atau gula batu, dua-dua masih juga gula berasaskan tebu. Sebenarnya apa-apa sahaja sumber yang manis boleh menggantikan gula. Pernah cuba letakkan kismis ke dalam teh untuk menggantikan gula. Rasa manisnya halus dan memang enak, kalau kena dengan jenis teh yang dibancuh.



Kismis boleh dijadikan pemanis

Pemanis dari buah bukannya perkara baru. Aku pernah terbaca, suatu ketika dahulu, pemanis yang digunakan dibuat dari jus tembikai. Bukan buah aja yang boleh dijadikan pemanis atau gula. Aku pernah beli gula yang diproses dari rumput. Rumput dan tumbuhan lain asasnya adalah selulosa, iaitu polimer glukosa, sejenis gula ringkas.




Kalau inginkan pemanis yang lebih padat dengan tenaga, boleh juga cuba sirap jagung. Sirap jagung memang manis, tetapi rasa dia lain sedikit. Mungkin ada yang suka. Aku kurang suka sebab tiba-tiba sahaja diri tidak boleh duduk diam dan ingin melakukan berbagai aktiviti. Terlebih tenaga. Mulalah rasa nak menyangkul. Kalau ada tanah, bolehlah menyangkul. Kalau tak ada tanah, cangkul lah apa-apa yang boleh dicangkul. ;P
 
 
Sirap jagung, manis pekat dan padat dengan tenaga.

Ada juga orang yang mahu pemanis tetapi tidak mahu kalorinya. Ini golongan yang membawa tayar spare walaupun mereka bergerak tanpa tayar. Boleh juga dicuba pemanis tanpa zat aspartame. Tapi pemanis tiruan ni ada rasa pahit selepas diminum. Biasanya orang kurang senang dengan "after taste" tersebut. Rasanya seakan-akan pemanis asli dari daun stevia, yang juga ada "after taste." Aku pernah beli serbuk pemanis ni, barang tempatan, khabarnya ditanam di Melaka. Sekarang aku pun ada tanam herbal stevia ni, tapi tak cukup untuk dijadikan serbuk. Hanya sekadar untuk amazekan kawan-kawan yang berkunjung ke rumah.




Mi, bonda kesayanganku ada diabetes, sejak dulu lagi kena kawal pemakanan. Dia memang kuat makan manis. Pemanis alternatif yang digunakan ialah madu. Aku pun hairan macamana Mi yang ada diabetes boleh minum pemanis dari madu, tapi it works. Tapi bila beli madu, dia akan cerewet sebab takut terbeli madu tiruan. Madu pun ada tiruan. Pelik pelik, tapi ada benarnya. Untuk minum teh, kalau dicampur madu aku suka Manuka, iaitu madu lebah dari ladang teh manuka. Rasanya kuat sedikit, tapi puas bila minum teh dicampur madu manuka.
 
Madu, enak dicampur ke dalam teh.

Walau apapun, kredit patut diberikan pada orang-orang kampung yang sambil sambil minum nira mengacau kawah membuat manisan kelapa. Gula warisan nenek moyang kita ini adalah paling best. Boleh dibancuh bersama teh, kopi atau apa-apa sekali pun. Kebiasaannya aku minum teh tanpa gula, tapi kalau aku kepingin teh yang manis, manisan kelapa adalah pilihan pertama aku.


Manisan kelapa, you are the best.

1 ulasan:

azmietaha berkata...

Manis gula o.k lagi, manis MADU mungkin jadi racun pada puan!

Pengunjung