Buah ceri barbados yang ranum pada 25 September 2012 |
Crab Apple adalah pohon yang amat bermakna bagi saya. 25 September 2012 menanda masa yang penting dalam hidup saya kerana hari tersebut menandakan dah 30 tahun saya menikahi isteri saya, Zaitun Ismail. Ya, semalam adalah hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke 30.
Baru 30 tahun, kalau panjang umur, tak sabar nak tunggu 30 tahun lagi.
Apa kaitannya dengan crab apple dan colek? 30 tahun yang lalu,
sebagaimana pasangan berdarah manis yang lain, kami ada spot kami
sendiri. Bila tiba musim bunga, kami akan sentiasa menghabiskan waktu
hujung minggu di bawah pokok crab apple di taman bandar tempat kami
menuntut. Ketika hari yang cerah, kami akan hampar tikar di bawah pohon
tersebut dan makan makanan bekalan yang kami bawa dari rumah sambil
memerhati pasangan membawa anak-anak ke taman. Biasanya perbualan kami
berkait dengan pengunjung lain yang membawa anak ke taman, atau
assignment yang kami perlu siapkan. Zaman tu belum ada laptop. Jadi
dalam bakul bekal kami ada tupperware berisi makanan, botol air dan buku
serta notepad kertas kuning. Pohon tersebut amat istimewa kerana ia
dipenuhi bunga.
Musim bunga biasanya hujan renyai-renyai. Kalau hujan kami akan buka
payung memerhati pengunjung yang lari-lari anak mencari perlindungan.
Pohon crab apple tersebut amat istimewa kerana ruangnya yang teduh, cozy
dan dekat pula dengan pohon mulberry yang besar. Kadang-kadang ada
tupai turun meminta makanan. Bila saya tidak berkongsi makanan ada
tupai yang naik ke pohon mulberry dan membaling buah mulberry ranum ke
arah kami. Ada antara baju saya rosak kerana warna jus mulberry yang
terlekat pada baju. Kebiasaannya isteri saya akan tersenyum memerhati
gelagat saya mengelak serangan tupai yang gemar bergurau.
Bila tiba musim panas, tempat ini menjadi semakin bermakna kerana buah
yang memenuhi pohon telah ranum. Kebiasaannya isteri saya akan bawa
pisau kecil, colek, iaitu kicap yang ditabur gula dan cili yang
dipenyet. Kami akan makan colek sambil menikmati masa yang berlalu.
Ada juga pengunjung yang telah biasa dengan kami singgah bertanya
khabar.
Pohon crab apple tersebut masih berdiri teguh dan saiznya jauh lebih
besar. Ia kelihatan jelas bila saya Google menggunakan Google Map. Ia
menjadi pohon yang istimewa untuk kami sampai bila bila pun.
Di sini, saya belum dapat pohon crab apple seperti jenis itu tapi di
rumah ada pohon ceri barbados yang seakan-akan crab apple yang saya tidak keluarkan dari bekas. Masih
mencari tapak yang sesuai untuk pohon tersebut. Ia akan ikut kami ke
mana sahaja kami pergi. Walaupun ia tidak memberi buah yang lebat atau
belum mampu memberi ruang yang teduh, ia tetap istimewa kerana
mengingatkan kami pada spot impian kami.
Nanti, bila jumpa spot yang serasi, pohon ini akan ditanam menjadi bukti
kami telah menemui spot kami agar dapat terus menjalani masa bersama,
sambil makan colek mengisi masa yang berlalu.
Hari ini hari istimewa kami. Pohon ceri barbados yang seakan-akan crab apple megah mengurniakan kami
sebiji buah ranum untuk kami kongsi bersama. Walaupun hanya sebiji, ia
seperti treasure buat kami, menikmatinya di haru ulangtahun
perkahwinan. 30 tahun lagi pun, crab apple dan colek tetap di hati.